Friday 15 May 2009

DALAM DERITA ADA BAHAGIA....


Pada suatu hari, seekor anak kerang di dasar laut telah mengadu dan mengeluh kepada ibunya kerana sebutir pasir tajam telah memasuki tubuhnya yang merah dan lembik.

"Anakku...Allah tidak menganugerahkan kepada kita, bangsa kerang, sebuah tangan pun sehingga Ibu tak dapat menolongmu", kata sang ibu sambil bercucuran air mata.

Si ibu terdiam sejenak.

"Aku tahu bahawa itu sakit anakku. Tetapi terimalah itu sebagai takdir alam. Kuatkan hatimu. Kerahkan semangatmu melawan rasa perit yang menggigit. Balutlah pasir itu dengan lendirmu. Hanya itu yang mampu kau lakukan", kata ibunya dengan sendu dan lembut.

Anak kerang pun mengikut nasihat bondanya. Hari demi hari berlalu, ia terus bertahan dan mengeluarkan lendir untuk mengurangkan rasa sakit itu. Lapisan lendir semakin membesar dan rasa sakit pula semakin berkurang.

Suatu ketika rasa sakit itu hilang sama sekali, dan kerang itu menjadi kerang yang luar biasa. Ia menjadi sangat berharga. Kerana ia memiliki sebutir mutiara yang besar, kukuh berkilat dan sangat indah.

Semuanya bermula dari sebuah penderitaan. Penderitaannya berubah menjadi mutiara, air matanya yang mengalir bertahun-tahun lamanya itu, berubah menjadi begitu berharga.

Dirinya kini, lebih berharga daripada sejuta kerang lain yang cuma disantap orang sebagai kerang rebus di pinggir jalan !

Sejak kebelakangan ini, banyak sungguh rasanya dugaan menimpa diri. Adakalanya saya terfikir, wujudkah dunia yang hanya dikelilingi oleh kebahagian sahaja? Dan sekiranya saya tinggal di sana, adakah saya boleh melalui kehidupan seperti sekarang, boleh berdikari dan hidup dalam apa jua keadaan.


Alhamdulillah, kini kita sedar bahawa kesenangan dan kesusahan itu merupakan seni kehidupan, dan ianya juga merupakan Sunnatullah pada alam semesta ini. Setiap kesusahan dan dugaan pasti ada rahmat disebaliknya, sebab itulah kita harus sentiasa bersikap positif dan tidak mencurigai setiap ujian dan dugaan yang menimpa diri.


Ibarat kata pujangga, hidup tanpa kesusahan, penderitaan, dugaan dan cabaran bagaikan nasi tidak berkuah, boleh dimakan tetapi tiada rasa.

Kita semua tidak terkecuali daripada menghadapi ujian hidup, yang membezakan antara kita hanyalah sejauh mana tahap kesabaran serta pendekatan digunakan bagi mengatasi kesemua masalah ini.


Meskipun sabar itu adalah suatu perkara yang sukar untuk dilakukan, tetapi kita semua harus menuju ke arahnya. Kerana ianya merupakan sumber kekayaan rohani yang terbesar dan tunjang kepada sebuah kebahagiaan.

Mungkin saat ini kita sedang mengalami kekecewaan, patah hati, atau terluka kerana orang-orang di sekitar kita. Jangan gundah, sentiasalah bersikap positif. Cubalah untuk tetap tersenyum dan tetap berjalan di jalan tersebut sambil katakan di dalam hatimu...


"Airmataku ini diperhitungkan oleh Allah... dan semoga penderitaanku ini akan mengubah diriku menjadi sebutir mutiara yang lebih berharga"

0 comments: